arena

'Saya mahu menikmati barbeku, sushi...'

Oleh AFP

JAKARTA: Perenang sensasi Jepun, Rikako Ikee menyatakan dia akan meraikan kejayaan dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) Sukan Asia 2018 dengan daging barbeku dan sushi.

Rikako, 18, yang menggondol rekod enam pingat emas di Jakarta juga berkata, dia berharap kejayaan itu meletakkan renang di Jepun di peta dunia menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya tidak sabar untuk menikmati barbeku daging dan sushi,” kata Rikako, yang muncul atlet pertama wanita memenangi anugerah MVP.

“Untuk menjadi atlet pertama Jepun menang enam pingat emas... ia akan meletakkan sukan renang Jepun di peta dunia,” katanya pada hari terakhir temasya itu.

Rikako muncul atlet wanita pertama memenangi enam pingat emas pada satu temasya Sukan Asia dan dia menamatkan kempen di Jakarta dengan lapan pingat sekali gus menyamai rekod yang dipegang atlet menembak Korea Utara, So Gin Man pada 1982.

Rikako menggegar kolam renang di Indonesia dengan meraih emas dalam acara 50 meter dan 100m kuak kupu-kupu, 50m, 100m dan 4x100m gaya bebas serta 4x100m rampaian.

Cabaran berikutnya buat Rikako menjelang Olimpik 2020 di negara kelahirannya adalah memburu gelaran dunia di Korea Selatan tahun depan.

“Saya masih belum memenangi gelaran dunia jadi ia sasaran saya berikutnya,” katanya yang sudah kembali ke Jepun ketika diberitahu memenangi anugerah MVP.

“Saya dalam kereta api ke Disneyland apabila jurulatih menghubungi saya untuk memberitahu ia mungkin menjadi milik saya dan saya tidak boleh berhenti tersenyum.

“Saya masih belum merasainya ketika ini tapi ia sesuatu yang memang saya inginkan jadi memenanginya satu kebanggaan.”

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 8:24pm
d