arena

Emery puji gol Lacazette

Oleh AFP

CARDIFF: Unai Emery meraih kemenangan kedua sebagai pengurus Arsenal dan perlu berterima kasih kepada Alexandre Lacazette yang muncul wira ketika skuad itu menewaskan Cardiff 3-2, sebentar tadi.

Anak buah Emery hampir melepaskan dua lagi mata Liga Perdana selepas dua kali diikat skuad kendalian Neil Warnock yang memanfaatkan kelemahan Gunners.

Namun, Arsenal berjaya mendapatkan mata penuh hasil jaringan lewat daripada Lacazette untuk merangkul kemenangan kedua di gelanggang lawan dalam saingan Liga Perdana sejak Disember lalu.

Shkodran Mustafi meletakkan Arsenal di depan sebelum Victor Camarasa menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama dengan Emery mendapat satu lagi pengajaran berkenaan kekuatan dan kelemahan dalam skuadnya.

Babak kedua menyaksikan lebih banyak gol terhasil apabila kecemerlangan dari Pierre-Emerick Aubameyang kembali meletakkan Arsenal mendahului pada minit ke-62.

Bagaimanapun, kesilapan dari pertahanan Arsenal menyaksikan Cardiff berjaya menyamakan kedudukan buat kali kedua menerusi Danny Ward, lapan minit kemudian.

Kelebihan dari aspek kemahiran individu yang dimiliki pemain Arsenal akhirnya membolehkan skuad itu meraih kemenangan dalam sembilan minit terakhir selepas hantaran pemain gantian Lucas Torreira disudahkan dengan cemerlang Lacazette.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 11:20pm
d