arena

Pochettino mahu Spurs bangkit

Oleh AFP

WATFORD: Mauricio Pochettino mengakui kekalahan 1-2 Tottenham Hotspur di tangan Watford adalah amaran awal dan mengakui skuad kendaliannya perlu tampil lebih baik jika mahu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPl), musim ini.

Pengendali Spurs itu mengecam kegagalan pemainnya mengekalkan kelebihan gol hasil jaringan sendiri Abdoulaye Doucoure pada minit ke-53.

Watford meledak dua kali daripada situasi bola mati, membuatkan Pochettino tertanya-tanya apa yang tidak kena selepas kemenangan 3-0 ke atas Manchester United, Isnin lalu.

“Saya rasa ia satu panggilan untuk bangkit buat setiap orang dan kami sedia mendengar apabila orang bercakap mengenai realiti dan bukan persepsi,” kata Pochettino.

“Hari ini, ia bagus untuk perbandingan. Kadang-kadang orang bercakap mengenai persepsi, tetapi realiti sebenar adalah di atas padang dan realiti jika anda mahu menjadi pesaing, anda perlu menang hari ini.”

Pochettino mengakui sukar untuk menelan kekalahan itu dan selepas melihat pasukannya bersaing di puncak liga beberapa musim kebelakangan, dia sedar anak buahnya mungkin memandang rendah keupayaan Watford.

“Kami perlu lebih menghormati lawan dalam pertandingan ini. Anda perlu bersaing dengan lebih baik.

“Sukar untuk saya memahami selepas empat tahun menjadi pesaing kejuaraan. Anda perlu menunjukkan rasa hormat, bersaing untuk menang, ia bukan mudah,” katanya.

Troy Deeney dan Craig Cathcart menanduk bola sepakan percuma dan sepakan sudut untuk kekalahan pertama Spurs musim ini yang dianggap Pochettino akan membantu mereka memperbaiki persembahan.

Bagi Watford pula, ia adalah kemenangan keempat berturut-turut musim ini dan skuad kendalian Javi Gracia kini di tangga ketiga, berkongsi mata (12) dengan pendahulu, Liverpool dan Chelsea di tangga kedua.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:30am
d