arena

'Jangan kejar insentif'

Oleh Ryan Stanley

Kota Kinabalu: Kontinjen Sabah mengekalkan sasaran untuk meraih 40 pingat emas dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 di Perak kali ini, sama seperti SUKMA di Sarawak, dua tahun lalu.

SUKMA kali ini menyaksikan kontinjen Sabah menghantar 422 atlet dengan jumlah acara sukan disertai 23 iaitu 14 sukan wajib dan sembilan sukan pilihan. Sukan wajib ialah akuatik (renang/terjun), badminton, berbasikal, bola sepak (padang/futsal), boling padang, gimnastik (artistik), hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat, perahu layar, skuasy dan tenpin boling.

Bagi sukan pilihan, kontinjen Sabah bersaing dalam acara angkat berat, golf, judo, muay thai, petanque, ragbi, sepak takraw, taekwondo serta tinju.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Seri Shafie Apdal berharap, atlet Sabah tidak hanya mengejar insentif semata-mata, sebaliknya mahu mereka melakukan yang terbaik untuk mencatat kemenangan demi mengharumkan nama Sabah dan diri sendiri.

"Saya tidak mahu menyentuh soal insentif kerana apa yang lebih penting ialah semangat mereka membawa cabaran negeri kelahiran dan bukannya sekadar menyertainya (SUKMA) atau mengejar insentif.

"Kita harus mengubah cara pemikiran ini (mengejar insentif), atlet seharusnya bangga mewakili negeri dan berjuang habis-habisan bagi mengharumkan nama Sabah," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 4:32pm
d