arena

'Saya mahu bercuti...'

Oleh Aida Adilah Mat

PELARI pecut negara Khairul Hafiz Jantan berkata, keputusan untuk tidak menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ia dibuat selepas memikirkannya sejak beberapa bulan lalu dan keputusan muktamad dilakukan selepas tamat temasya Sukan Asia. 

Khairul Hafiz turut memaklumkan ia bukan kerana dia takut tewas atau sebagainya namun ingin melihat lebih ramai jaguh muda negara dapat dihasilkan seterusnya memberikan saingan kepadanya. 

"Memang sebelum ini saya belum membuat keputusan dan selepas Sukan Asia tamat barulah saya memutuskan untuk tidak Ke SUKMA.

"Ini akan memberi lebih peluang kepada pelari muda menonjolkan diri mereka di pentas SUKMA selain saya juga ingin berehat. 

"Perkara itu sudah saya maklumkan kepada jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) dan beliau tidak membantah," katanya. 

Menurut pelari yang dikenali The Speedy Jantan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu, dia mahu menggunakan masa yang ada ini untuk bercuti bersama keluarga. 

"Sudah lama saya tidak dapat bercuti bersama keluarga. Kali ini saya mahu bersama keluarga selepas menempuhi jadual yang sibuk. 

"Jurulatih pun sudah saya maklumkan dan beliau mengizinkan saya bercuti buat sementara waktu ini sebelum kembali berlatih semula," katanya. 

Terdahulu, Poad mengesahkan juara pecut Asia Tenggara itu mengesahkan untuk menarik diri daripada SUKMA.

Bagaimanapun, keputusan itu diambil bukan kerana kepincangan yang berlaku antara beliau dan juga Majlis Sukan Negeri Melaka sebelum ini. 

Dua tahun lalu, Khairul Hafiz yang berusia 18 tahun ketika itu berjaya mendominasi acara riben biru di SUKMA Sarawak dan melakar sejarah baru dalam arena olahraga negara apabila dinobatkan sebagai pemegang rekod baru acara itu dengan catatan 10.18s. Dia memadamkan rekod Watson Nyambek yang dipegang selama 18 tahun.

 

 

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 7:32pm
d