arena

'Josiah Ng bukan pengkhianat'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PUTRAJAYA: Siapa yang panggil Josiah Ng pengkhianat sila cermin diri sendiri, jelas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai bekas pelumba trek negara itu yang mendapat kecaman netizen selepas berjaya membantu anak buahnya, Jai Angsuthasawit meraih emas keirin Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Menurutnya, Josiah tidak sepatutnya digelar sebagai pengkhianat selepas banyak berjasa kepada negara dalam kejohanan peringkat antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

"Saya berpeluang berjumpa dengannya di velodrom di Jakarta dan bertanyakan kenapa pergi ke Thailand (melatih Thailand). Bagaimanapun dengan jawapan penuh merendah diri beliau mengakui masih belum layak untuk melatih Malaysia. Beliau mahukan sedikit masa untuk membuktikan kebolehannya sebelum pulang semula melatih pasukan negara kita," katanya selepas sidang media Konsert dan Festival Rakyat 'Sayangi Malaysiaku' hari ini.

Ujarnya, Josiah tidak memberi alasan seperti orang lain iaitu mengenai wang ataupun tawaran tinggi dari negara lain sebaliknya mengakui masih belum layak sebagai jurulatih Malaysia.

"Beliau pernah meraih emas untuk negara tapi kita menggelarkannya sebagai pengkhianat?. Sumbangannya untuk negara sangat banyak sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

"Sepatutnya kita perlu rasa bangga kerana yang membantu Thailand meraih pingat adalah rakyat Malaysia. Beliau mampu memberi sumbangan pembangunan sukan di Malaysia pada masa depan," kata Syed Saddiq.

Josiah yang pernah meraih tiga perak dan satu gangsa di Sukan Asia, dikecam di media sosial oleh netizen kerana dikatakan sebagai pengkhianat selepas menjawat jawatan sebagai jurulatih berbasikal trek negara Thailand.

Lebih menghangatkan lagi keadaan apabila anak buahnya, Angsuthasawit bukan saja berjaya meraih emas dalam acara keirin malah mengetepikan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang yang meraih gangsa.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 7:40pm
d