arena

Pelayar persiap diri di Jepun

Oleh Jumiati Rosly

PELAYAR negara akan berkampung di Enoshima, Jepun tahun depan bagi membiasakan diri dengan hari pertandingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang juga muncul atlet pertama negara menempah tiket ke Olimpik berkata, dalam perancangan awal dia mahu ke sana pada tarikh sama apabila berlangsungnya Olimpik pada bulan Julai.

“Kami akan berkampung di sana untuk kenal dengan orang sana. Bukan saja nak biasakan diri dengan keadaan laut tapi juga kami perlu bina hubungan dengan rakyat setempat untuk merasakan persekitaran selesa.

“Ketika di Rio (2016), saya langsung tak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana menyebabkan keputusan saya agak teruk,” katanya yang melayakkan diri ke Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Pemenang pingat perak acara laser standard pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang itu berkata, dia pernah menyertai pertandingan di Enoshima dan keadaan persekitaran di situ agak rumit.

Khairulnizam berkata, dia akan menyertai kem latihan di Sepanyol selama tiga minggu bulan depan bersama pelayar terbaik Eropah bagi persediaan menyertai beberapa kejohanan di Australia, hujung tahun ini.

“Saya harap dengan kejayaan kami (pelayaran), akan memberi peluang lebih ramai atlet pelayaran dimasukkan ke dalam Program Podium supaya lebih ramai pelayar mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa,” katanya yang juga atlet Program Podium.

Sukan pelayaran menyumbang satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Asia berakhir semalam.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:10pm
d