arena

Hentikan Program Podium

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Selepas sekali lagi gagal memenuhi sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berakhir semalam, sudah tiba masanya Program Podium yang menggunakan perbelanjaan besar ditamatkan serta merta.

Saranan itu disuarakan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad ketika ditanya prestasi keseluruhan kontinjen negara yang sekadar membawa pulang tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-14 keseluruhan.

"Program Podium mestilah ditamatkan selepas Sukan Asia 2018, tak perlu tunggu Sukan Olimpik Tokyo 2020 (sasaran Podium untuk memenangi pingat emas pertama negara). 

"Kita tengok sahajalah daripada 12 jenis sukan yang memenangi pingat, kita hanya menang satu emas acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik iaitu dalam berbasikal trek," katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Justeru, Mazlan mencadangkan satu program khusus dengan skala yang lebih kecil untuk sukan berbasikal trek diwujudkan bagi menggantikan Program Podium jika merasakan sukan berkenaan mempunyai peluang memenangi pingat emas di Tokyo nanti.

"Bagi pendapat saya, tutup sajalah Program Podium dan kedua kita perlu meletakkan program sukan berprestasi tinggi dipindahkan semula ke Majlis Sukan Negara (MSN).

"Biarlah Institut Sukan Negara (ISN) menjalankan tugas mereka dalam sains sukan seperti mana yang dikehendaki dan tidak perlu membabitkan diri dalam sukan berprestasi tinggi," katanya.

Beliau berkata, Program Podium itu memakan perbelanjaan yang terlalu besar dan MSN sepatutnya mengambil alih semula tugas dalam menjalankan sukan berprestasi tinggi memandangkan mereka mempunyai tenaga kerja yang berpengalaman berbanding ISN.

"Saya anggap eksperimen meletakkan Podium di bawah ISN, cukup setakat itu sahaja. Letak semula program prestasi tinggi di bawah MSN," katanya.

Mengenai tujuh emas yang disasarkan, Mazlan berkata Malaysia sepatutnya membaiki pencapaian pingat pada dua temasya lalu di Guangzhou 2010 yang menyaksikan kontinjen negara memenangi sembilan emas memandangkan pelaburan yang besar dan jumlah penyertaan terbesar di Jakarta-Palembang.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast pada April lalu, kontinjen negara juga tidak berjaya menempatkan dalam kelompok 10 terbaik apabila sekadar berada di kedudukan ke-12 dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Untuk rekod, Program Podium dimulakan pada 2016 dengan program bersepadu persediaan atlet elit itu diberi peruntukan RM75 juta pada tahun itu dengan Institut Sukan Negara (ISN) diberi tugas menjalankannya. 

Matlamat utama penubuhan Program Podium adalah untuk merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 11:27pm
d