arena

Akhyar intai aksi luar

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Tonggak skuad bawah 23 tahun (B-23), Akhyar Rashid kini sedang mengintai peluang untuk beraksi bersama kelab di Jepun dan Thailand bagi mengembangkan lagi kariernya di pentas lebih tinggi.

Selepas beraksi cemerlang bersama skuad negara di temasya Sukan Asia 2018 yang berakhir minggu lalu, kelibat serta kelincahan pemain Kedah ini dikatakan mula menarik perhatian beberapa kelab termasuk dari luar negara.

Berikutan itu, ejen yang dilantik Akhyar mengakui mereka sedang berusaha memastikan impian pemain berusia 18 tahun berkenaan akan menjadi kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi Marquee Managment Sdn Bhd, Wan Mohd Anwari Wan Amran, mengesahkan mereka kini sedang mengenal pasti beberapa kelab yang mungkin berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar yang beraksi di posisi penyerang dan sayap.

“Selaku ejen dilantik Akhyar, saya berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat memberikan kerjasama dan melepaskan pemain jika ada mana-mana kelab dari luar negara berminat mendapatkan khimatnya.

“Kami akan menghantar Akhyar bermain secara ‘pinjaman’ kerana dia masih mempunyai kontrak setahun bersama KFA,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Mohd Anwari berharap, penghijrahan Akhyar itu nanti akan dapat membuka mata dan memberi inspirasi kepada pemain muda lain untuk membuat keputusan berani untuk beraksi bersama kelab di luar negara.

Tegasnya, pemain muda Malaysia patut mencontohi langkah berani penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri yang kini beraksi di Thailand bersama kelab Nakhon Ratchasima FC.

Mengulas lanjut, setakat ini, pemain pilihan skuad Datuk Ong Kim Swee itu belum menerima tawaran rasmi daripada mana-mana kelab.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 8:14am
d