arena

Sane buat Guardiola marah

Oleh Agensi

MANCHESTER: Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus menegaskan ketiadaan Leroy Sane yang tidak disenaraikan bagi menghadapi perlawanan menentang Newcastle United, Sabtu lalu adalah satu amaran daripada pengurus, Pep Guardiola.

Sane yang dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik PFA, musim lalu gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama City untuk empat perlawanan dan tidak berada di bangku simpanan ketika kelab itu menewaskan Newcastle 2-1 di Stadium Etihad.

Guardiola berkata, keputusan itu adalah disebabkan percaturan taktikal biarpun laporan mengatakan pengurus berkenaan tidak berpuas hati dengan sikap Sane ketika sesi latihan.

“Ia adalah perkara biasa dengan skuad menakjubkan seperti ini. Hari ini Sane, tetapi pada masa akan datang, ia mungkin giliran saya atau pemain lain.

“Saya akan terus bekerja keras bagi mengelak perkara itu berlaku kepada saya.

“Kami semua tahu kualiti yang dimiliki Sane dan dia penting untuk kelab. Namun, ini baru permulaan musim.

“Ia perkara biasa apabila ada pemain lain yang bermula dengan cemerlang berbanding pemain lain. Saya hanya harap apabila dia kembali bersama pasukan, dia akan berikan 100 peraturs dan boleh membantu kami,” kata Gabriel.

Sane akan menyertai skuad Jerman minggu ini selepas diketepikan ketika kempen Piala Dunia, Jun lalu.

Bagaimanapun, Gabriel, 21, tidak dipanggil membarisi skuad Brazil kali ini bagi menghadapi aksi persahabatan menentang El Salvador dan Amerika Syarikat selepas gagal menjaringkan gol pada Piala Dunia.

“Perkara itu berlaku. Sejak beberapa tahun ini saya sentiasa dipanggil. Kali ini, tidak...ia perkara biasa dan saya faham,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 9:44am
d