arena

Suarez pujuk Pogba

Oleh Agensi

BARCELONA: Luis Suarez menjadi pemain kedua Barcelona dalam tempoh seminggu cuba memujuk pemain tengah Manchester United, Paul Pogba supaya berpindah ke Nou Camp.

Hanya beberapa hari selepas Gerard Pique berkata dia gembira untuk bersama pemain Perancis itu di Catalunya, Suarez menyuarakan nada sama dengan mengatakan kedatangannya dialu-alukan di kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Spekulasi berkenaan hasrat Pogba menyertai juara Sepanyol itu diperkatakan minggu lalu dan ejen pemain berkenaan dikatakan sedang berunding dengan kelab.

United tegas dengan pendirian mereka untuk mengekalkan Pogba di Old Trafford selepas menandatangani semula pemain itu untuk lima tahun pada tahun 2016, pada nilai perpindahan tertinggi ketika itu – 89 juta pound (RM474.8 juta).

Namun Suarez percaya, bakat Pogba akan lebih menyerlah bersama Barcelona, di mana dia boleh bersaing untuk hadiah tertinggi dalam bola sepak.

“Pogba pemain elit yang sudah memenangi semuanya,” kata Suarez. “Dia mempunyai kualiti dan antara seorang yang menjadi rujukan di United.

“Saya rasa dia tentu mahu bersaing di peringkat lebih tinggi berbanding sekarang. Dia bukan milik Barca, tetapi dia sentiasa dialu-alukan.”

Pemain 25 tahun itu diberi tanggungjawab sebagai kapten oleh pengendali United, Jose Mourinho dan dia memulakan keempat-empat perlawanan awal Liga Perdana Inggeris musim ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 11:58am
d