arena

Pacheco hormati Macan Kemayoran

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Selangor, Willian Pacheco mengakui perasaannya bercampur baur apabila bakal turun menentang bekas pasukannya, Persija Jakarta pada aksi persahabatan di Stadium Patriot Chandrabhaga, malam esok.

Pemain yang dipilih dalam kesebelasan utama terbaik Liga 1 2017 itu nyata gemuruh apabila terpaksa bertemu keluarganya dengan menyarung ‘jersi’ berlainan selepas dua musim menabur bakti bersama pasukan itu sebelum ini.

“Saya memiliki persahabatan yang hebat dengan pasukan itu kerana di kelab itu saya mula mencipta nama. Tanpa Persija Jakarta, sudah tentu saya tidak akan berada di sini,” kata Pacheco.

“Saya begitu menghormati Persija Jakarta yang menjadi pasukan pertama saya di Asia dan mereka memberikan peluang untuk saya mengembangkan karier bola sepak.

“Saya juga menantikan sorakan padu penyokong Jak Mania yang amat saya rindui. Walaupun gemuruh tapi saya tetap teruja dengan perlawanan ini.”

Skuad The Red Giants mengharungi dua aksi persahabatan di Indonesia dengan aksi pertama bertemu Madura United di Stadium Gelora Ratu Pamellingan, Pamekasan, berlangsung petang semalam.

Pada aksi persahabatan terbabit, anak buah Nazliazmi Nasir terpaksa akur dengan kehebatan Madura United selepas tumbang 1-4 dengan gol sagu hati disumbangkan penyerang prolifiknya, Rufino Segovia pada minit ke-89.

Madura United mendahului seawal minit kelapan menerusi Greg Nwokolo sebelum penyerang Indonesia itu menyumbat gol kedua enam minit berselang.

Mamadou Samassa terus melebarkan jurang dengan gol ketiga pada minit ke-69 sebelum bekas penggempur FELDA United, Zah Rahan Krangar menambah derita pelawat dengan gol keempat pada minit ke-88.

Mengulas lanjut perlawanan bertemu skuad Macan Kemayoran itu, Pacheco menggesa rakan sepasukannya supaya bangkit dan memperagakan aksi yang lebih baik.

“Saya akan memberikan 100 peratus untuk Selangor. Kita perlu menang perlawanan ini kerana Selangor pasukan yang hebat,” kata pertahanan dari Brazil itu.

 

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 2:15pm
d