arena

'Reputasi pemain bukan segalanya...'

Oleh Aziman Rosdi

PENYERANG Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak menganggap pemain yang dibawa oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe ke Taiwan hari ini tetap memiliki kekuatan tersendiri meskipun tanpa beberapa tonggak.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, status pemain tidak penting sebaliknya jiwa Malaysia perlu ada kepada semua pemain untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

"Saya percaya setiap pemain ada kelebihan masing-masing, Safawi (Rasid) ada kelebihannya, Syafiq (Ahmad) ada kelebihannya dan pemain yang ada bersama pasukan sekarang juga ada kelebihan masing-masing.

"Saya yakin dengan pemain yang ada, masing-masing ada kelebihan tersendiri, yang penting keharmonian dalam pasukan dan jiwa untuk bermain demi negara itu lebih penting untuk mencapai kemenangan," kata Zaquan.

Cheng Hoe hanya membawa 22 pemain ke Taiwan kerana lima pemain iaitu penyerang muda sensasi Safawi, Syafiq, Adam Nor Azlin, Rizal Ghazali dan Norshahrul Idlan Talaha meminta pengecualian akibat masalah kecederaan, kepenatan dan urusan keluarga.

Selain itu, lapan pemain daripada skuad yang menewaskan Fiji 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 5 Julai lalu di Cheras tidak disenaraikan kali ini.

Sudah pasti ini memberi ruang kepada pemain baharu untuk membuktikan kemampuan untuk merebut tempat memandangkan Cheng Hoe dijangka akan memanggil skuad sebenar ke Piala AFF pada tiga aksi persahabatan terakhir menentang Sri Lanka, Republik Kyrgyz dan Maldives bulan depan.

"Betul, pemain perlu ambil serius. Dalam latihan pemain kena tunjukkan bakat untuk beraksi di peringkat antarabangsa, jika diberi peluang tapi tak guna itu satu kerugian kerana bermain dengan skuad kebangsaan akan beri impak dan tingkatkan tahap kita.

"Insya-Allah, saya harap dapat beraksi semula bersama pasukan kebangsaan, perlawanan persahabatan ini penting untuk memperbaiki ranking kita sebelum ke Piala AFF," kata Zaquan yang meledak empat gol ketika menewaskan Bhutan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 April lalu.

Selepas Taiwan, anak buah Cheng Hoe akan ke Phnom Penh bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Kemboja, Isnin ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 5:55pm
d