arena

Ada lagi pasukan 'degil' tak bayar gaji...

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Isu tunggakan gaji membabitkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya di saingan liga bawahan terus menjadi 'kronik' yang nyata mencemarkan imej bola sepak negara.

Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bersidang Isnin lalu menyaksikan dua pasukan dari Liga FAM iaitu Perlis dan Terengganu City perlu membayar sejumlah RM744,500 kepada pemain mereka.

Dalam kenyataan oleh pengerusi jawatankuasa itu, Mohd Joehari Ayub, menyaksikan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berdepan tuntutan tunggakan gaji paling tinggi berjumlah RMRM461, 500 yang dikemukakan 29 pemain mereka.

Manakala, finalis Piala FAM musim ini iaitu Terengganu City yang akan menentang Selangor United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok pula, dikehendaki membayar tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak kepada enam pemain.

Pemain berkenaan ialah Azrul Hazran Amiludin Baki (RM40,000), Mohd Norhafizzuan Jailani (RM59,000), Rahmat Hassan (RM40,000), Ros Mohd Muharam Wahab (RM24,000), Sani Anuar Kamsani (RM80,000) dan Zailan Mohamad (RM40,000).

Joehari menjelaskan kesemua tuntutan berkenaan perlu dilunaskan persatuan dan kelab terbabit dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Katanya, jika gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Sebelum ini, pada April lalu menyaksikan pasukan Kuantan FA tidak dapat meneruskan kempen Liga Perdana musim ini selepas digugurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas kesalahan kelab itu tidak turun beraksi menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April atas masalah kewangan.

Malah, mereka turut diarahkan oleh Jawatankuasa Status untuk membayar tunggakan gaji 24 pemain dengan anggaran RM762,000.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 7:02pm
d