arena

Naomi cipta sejarah Terbuka AS

Oleh AFP

NEW YORK: Naomi Osaka menjadi pemain tenis wanita pertama Jepun dalam tempoh 22 tahun mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Grand Slam, selepas dia menewaskan Lesia Tsurenko 6-1, 6-1 dalam aksi suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Sejurus kemenangan itu, Naomi mengakui terkejut dengan rekod dan pencapaian cemerlang yang dilakarnya pada kejohanan kali ini.

Naomi masih belum lahir ketika rakan senegaranya, Kimiko Date mara ke separuh akhir Wimbledon pada 1996, tetapi kini pemain berusia 20 tahun itu memiliki peluang untuk merekodkan pencapaian lebih gemilang jika melangkah ke pentas final Grand Slam.

Bagi merealisasikan impian itu, pemain pilihan ke-20 itu perlu melepasi halangan sama ada Madison Keys atau pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro yang bakal menjadi lawannya di separuh akhir.

“Ia kemenangan yang cukup bermakna,” kata Naomi.

Bagaimanapun, Naomi meraikan kejayaan itu kali ini dengan lebih tenang berbanding ketika dia mengalirkan air mata selepas memenangi aksi pusingan 16 terbaik dengan menewaskan Aryna Sabalenka.

“Saya banyak menangis sebelum ini dan ramai yang menjadikannya sebagai bahan jenaka. Jadi, kali ini saya terus ke jaring (bersalaman dengan lawannya).

“Saya terkejut dan seluruh tubuh badan saya menggigil, tetapi secara keseluruhannya saya bangga kerana tidak mematahkan raket saya.” katanya.

Naomi yang mempunyai darah campuran Jepun (ibu) dan Haiti (bapa), berkata dia menikmati perlawanan dalam keadaan cuaca panas yang menjadi topik tumpuan sepanjang kejohanan kali ini.

“Saya tidak fikir ia terlalu panas. Saya sudah biasa dengan suhu di Florida. Saya suka berpeluh,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 7:42am
d