arena

Orang tempatan ketuai Program Podium

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara peribadi mahu calon tempatan mengetuai Program Podium susulan peletakan jawatan pengarahnya, Tim Newenham, semalam.

Beliau percaya, Malaysia mempunyai ramai tokoh dalam kalangan calon tempatan yang layak untuk mengisi kekosongan jawatan itu dalam misi memastikan kontinjen negara meraih pingat emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020.

“Apa yang paling penting adalah kebolehan individu itu. Saya dimaklumkan di Malaysia kita mempunyai ramai tokoh layak yang sudah memenangi pelbagai jenis pingat dan memiliki pengalaman luas namun ia tidak semestinya bekas atlet.

“Saya akan pastikan proses ini dijalankan secara telus dan jika ada pihak yang mempertikaikan nanti, ia hanya segelintir. Sempena sesi [townhall’ yang akan diadakan nanti bersama MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), OCM (Majlis Olimpik Malaysia) dan NSA (Persatuan Sukan Kebangsaan), saya akan dapatkan maklum balas daripada mereka.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada Tim atas khidmat dan sumbangannya terhadap Program Podium,” kata Syed Saddiq ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Remaja Astro 2018 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Persatuan Badminton Malaysia dengan Kumpulan Astro di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Turut hadir, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.

Syed Saddiq, berkata struktur organisasi Program Podium akan dirombak bagi memastikan peruntukkan disalurkan memberi fokus yang lebih kepada atlet.

“Apabila saya mengambil alih KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan melihat laporan kewangan, peruntukan untuk Program Podium tinggi. Namun, sebagai contoh RM70 juta, tapi akhirnya yang dibelanjakan untuk atlet hanya RM40 hingga RM50 juta.

“Ini kerana ada penjawatan tambahan iaitu pekerja kontrak yang majoritinya bukan orang tempatan. Ini bukan alasan kita gagal tapi antara bahagian yang perlu dikaji semula bagi memastikan objektif peruntukan kepada atlet sampai,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 2:36pm
d