arena

Syed Saddiq kongsi petua cergas

Oleh Helmi Talkah

DI sebalik kesibukan tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memastikan beliau melakukan 300 kali tekan tubi dan 300 kali duduk tubi setiap hari bagi menjaga tahap kecergasannya.

Syed Saddiq, berkata senaman itu dibahagikan kepada tiga sesi setiap hari selain tempoh satu jam diperuntukkan untuk beliau melakukan aktiviti di gimnasium.

"Saya melakukan senaman dengan membahagikannya kepada tiga sesi sehari iaitu sebelah pagi, selepas makan tengah hari dan malam. Setiap sesi itu saya akan melakukan 100 kali tekan tubi dan 100 kali duduk tubi, secara keseluruhan 600 kali untuk kedua-dua aktiviti itu.

"Saya juga meminta pegawai saya setiap hari mencari satu masa selama sejam bagi saya melakukan aktiviti di gimnasium dan larian sejauh 5 kilometer," katanya ketika berkongsi petua bagi menjaga tahap kecergasannya.

Beliau berkongsi petua itu ketika sidang media Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Remaja Astro 2018 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik Persatuan Badminton Malaysia dengan Kumpulan Astro.

Syed Saddiq, 25, mencatatkan rekod baru dalam legasi kepemimpinan muda dan menempa sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu diterajui Pakatan Harapan (PH).

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 6:04pm
d