arena

'Win Back Mission'

Oleh Malik Muhamad

BERBEKALKAN slogan 'Win Back Mission’, atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang beraksi dalam temasya ke-19 di Perak bermula 12 September ini bakal menerima habuan RM3,000 seorang jika berjaya menggondol pingat emas, manakala RM2,000 perak dan gangsa RM1000.

Berita gembira itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang mewakili Menteri Besar dalam majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Terengganu kepada ketua kontinjen, Samiun Salleh dan timbalannya Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, malam semalam.

Wan Sukairi berkata, selain insentif itu yang bakal diberikan kepada pemenang, kerajaan negeri juga akan menaja menunaikan ibadah umrah kepada atlet yang berjaya dinobatkan olahragawan dan olahragawati manakala atlet bukan Islam akan diberi imbuhan RM5,000.

“Insentif kemenangan segera RM300 kepada pemenang pingat emas, perak RM200 dan gangsa RM100 juga akan diberikan terus kepada atlet yang berjaya mengutip pingat dalam sukan itu kerana misi kita adalah muncul juara keseluruhan.

“Kami berkeyakinan edisi ke-19 SUKMA ini bakal menjadi milik Terengganu kerana berdasarkan prestasi semasa atlet, mereka berada pada landasan yang tepat untuk meraih gelaran juara dalam sukan itu.

“Selain itu perancangan rapi dan tersusun serta latihan bermula pada peringkat awal lagi termasuk sokongan padu daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) adalah rempah ratus resepi kejayaan,” katanya Wan Sukairi.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 7:44pm
d