arena

Tugas pertama Mancini

Oleh AFP

MILAN: Roberto Mancini membimbing perlawanan pertama dalam saingan kompetitif sebagai jurulatih Itali pada perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara menentang Poland di Bologna awal pagi Sabtu ini dengan tugasan sukar memulihkan kembali kepercayaan penyokong terhadap pasukan selepas gagal ke Piala Dunia di Russia.

Bekas jurulatih Inter Milan dan Manchester City itu dilantik pada Mei lalu selepas juara empat kali itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Mancini mempunyai misi memperkasakan semula pasukan itu menjelang Kejuaraan Eropah yang akan berlangsung dua tahun lagi dan menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar.

Liga Negara-Negara yang mana Itali akan turut bertemu juara Eropah, Portugal dalam saingan Kumpulan 3 akan mempengaruhi undian pasukan menghadapi Euro 2020.

Jurulatih berumur 53 tahun itu juga menekankan kunci kepada strateginya adalah untuk membawa muka baru selepas beberapa pemain veteran meninggalkan pasukan itu termasuk penjaga gol terkenal, Gianluigi Buffon, selepas kekalahan kepada Sweden dalam saingan playoff Piala Dunia, November lalu.

Ketiaadan Buffon dalam skuad itu memberi peluang kepada penjaga gol AC Milan yang baru berumur 19 tahun, Gianluigi Donnarumma.

“Kami adalah pasukan yang hebat, sangat muda,” kata Donnarumma selepas sesi latihan berhampiran Florence.

“Kami bertekad untuk mengembalikan semula bola sepak Itali ke landasan yang sepatutnya. Ia adalah tugas kami.”

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 9:39pm
d