arena

Areola penyelamat Les Bleus

Oleh AFP

MUNICH: Penjaga gol, Alphonse Areola menyelamatkan juara dunia, Perancis daripada dimalukan selepas seri 0-0 dengan Jerman pada aksi pembukaan Liga Negara Eropah, awal pagi tadi.

Areola yang memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama menggantikan kapten, Hugo Lloris yang cedera tampil dengan persembahan terpuji dengan melakukan beberapa aksi menyelamat hebat pada babak kedua.

Pertembungan dua kuasa besar di Arena Allianz membabitkan dua pemenang edisi Piala Dunia itu tampak seperti permulaan yang sempurna bagi memperkenalkan kejohanan terbaru aksi antarabangsa itu.

Begitupun, pertemuan yang berlangsung dalam keadaan hujan di Bavaria itu tidak berjalan seperti diharapkan sekalipun Perancis beraksi buat kali pertama selepas dimahkotakan kejuaraan dunia Julai lalu dengan Jerman turun dengan misi memulihkan maruah.

“Saya tahu kami semakin tamak, tapi seri di Jerman satu keputusan yang bagus,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps kepada stesyen televisyen Perancis TF1.

Selepas berlangsung agak hambar pada separuh masa pertama, Jerman meningkatkan tempo pada 30 minit terakhir permainan tetapi berulang kali dinafikan Areola yang menjadi penjaga gol ketiga di belakang Lloris dan Steve Mandanda.

Ia penampilan sulung Areola dalam kempen antarabangsa dan menjadi satu-satunya perubahan yang dibuat oleh Deschamps terhadap skuad yang memulakan aksi final Piala Dunia menentang Croatia di Russia.

Penjaga gol Paris Saint-Germain itu bijak menghalang cubaan Marco Reus dan menepis tandukan Matthias Ginter manakala satu-satunya cubaan berbahaya Perancis menerusi penyerang Antoine Griezmann diselamatkan Manuel Neuer.

“Langkah pertama yang bagus. Ia mengenai membuktikan kepada orang ramai yang kami bukan menyarung jersi pasukan kebangsaan seperti latihan,” kata penyerang Jerman, Thomas Mueller kepada ZDF.

“Ia mengenai untuk mendapatkan semula nilai dan pujian yang kami peroleh sejak 10 tahun yang lalu sebelum kami tewas pada Piala Dunia,” katanya.

Pertahanan Jerman, Mats Hummels dalam pada itu mengakui Areola beraksi dengan baik.

“Kami memperoleh tiga atau empat peluang tapi Areola menyelamatkannya dengan baik,” kata Hummels.

“Kami mahu lebih fokus terhadap kestabilan pertahanan dan kami mendapat keseimbangan yang baik hari ini antara pertahanan dan serangan.”

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 7:57am
d