arena

'Terbuka AS 2018 paling sukar'

Oleh AFP

NEW YORK: Novak Djokovic percaya pemain yang menjulang trofi Terbuka Amerika Syarikat 2018 layak dilabel juara tulen selepas menyifatkan edisi yang panas dan hangat kali ini sebagai ‘paling sukar’ pernah diharunginya.

Djokovic, pemenang edisi 2011 dan 2015, akan berdepan Kei Nishikori pada separuh akhir, awal pagi esok yang menjadi penampilan ke-11 berturut-turutnya di peringkat empat terbaik.

Dengan penampilan kelapan di perlawanan akhir menjadi taruhan, pemain Serbia berusia 31 tahun itu menjangkakan bintang Jepun, Nishikori akan membuatkannya ‘berpeluh.’

“Daripada pengalaman saya dan saya hanya bercakap mengenai diri sendiri, ini sudah pasti Terbuka AS paling sukar sepanjang 10 tahun yang pernah saya harungi dari sudut keadaannya,” kata pemenang 13 kali gelaran Grand Slam itu.

Terbuka AS kali ini berlangsung dalam cuaca yang panas, melebihi 30 Celsius untuk kebanyakan hari selain kelembapan tinggi.

Bintang Switzerland, Roger Federer yang dikejutkan dengan kekalahan pada pusingan keempat di tangan pemain ranking 55 dunia, John Millman mengadu sukar buatnya bernafas di Stadium Arthur Ashe yang disifatkan seperti gua.

Djokovic berkata, dia menukar bajunya sebanyak 10 kali ketika mencatat kemenangan 6-3, 6-4, 6-4 ke atas Millman pada suku akhir malah satu ketika permainan tertangguh selama enam minit selepas pemain muda Australia itu meninggalkan stadium untuk menukar baju.

“Secara peribadi saya tidak pernah berpeluh seperti yang saya alami di sini. Menakjubkan. Saya perlu menggunakan sekurang-kurangnya 10 baju dalam setiap perlawanan.”

Begitupun, agak bertuah bagi Djokovic dan buat Nishikori serta Rafael Nadal dan Juan Martin del Potro yang bertemu pada satu lagi separuh akhir, perlawanan dijangka berlangsung dalam keadaan suhu 24 Celsius.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 9:57am
d