arena

Harimau Malaya mungkin huni 'liga ketiga'

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Sekiranya hasrat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menganjurkan Liga Negara Negara dilaksanakan, Malaysia perlu bekerja keras apabila dijangka akan membarisi Liga C.

Analisis itu dibuat berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi semua 46 negara di benua Asia yang menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa menghuni ‘liga ketiga’ susulan berada di ranking rendah.

Malah, Malaysia boleh dianggap bernasib baik kerana ranking kurang ‘cemerlang’ menyebabkan mereka hampir terjerumus ke liga tercorot.

Ketika Liga Negara-Negara Eropah menggunakan mekanisme 12-12-15-16 untuk membahagikan pasukannya dalam empat liga mini, namun AFC mungkin perlu menggunakan format 12-12-12-10 memandangkan jumlah bilangan negara yang kurang berbanding Eropah.

Menerusi ranking semasa FIFA, 12 pasukan terbaik Asia yang akan membarisi Liga A adalah Iran, Australia, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Syria, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Oman, Iraq serta Republik Krygyz.

Senarai 12 pasukan terbaik seterusnya yang akan membarisi Liga B adalah Uzbekistan, India, Qatar, Palestin, Vietnam, Korea Utara, Jordan, Bahrain, Filipina, Tajikistan, Thailand dan Taiwan.

Liga C akan dibarisi pasukan di ranking ke-25 sehingga ranking ke-36 membabitkan penyertaan Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Baki 10 pasukan iaitu Laos, Bhutan, Macau, Mongolia, Guam, Timor Leste, Bangladesh, Brunei, Sri Lanka dan Pakistan pula melengkapkan Liga D.

Semua pasukan dalam setiap liga akan diundi untuk mengisi empat kumpulan kecil (1, 2, 3, 4) kecuali Liga D yang menampilkan tiga kumpulan sahaja sekali gus menyaksikan Malaysia berpeluang besar untuk mengelak bertemu negara Asia Tenggara selepas undian dijalankan nanti.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tampil dengan idea Liga Negara-Negara Eropah, format pertandingan sama mungkin akan dapat disaksikan di benua Asia selepas ini.

Ia susulan bayangan yang diberikan AFC apabila badan induk itu dilihat sedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua terbabit bagi menganjurkan perlawanan persahabatan yang dilihat akan meningkatkan lagi tahap kompetitif setiap perlawanan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA, namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 4:35pm
d