KUALA LUMPUR: Atlet negara yang cemerlang meraih pingat di Sukan Asia Jakarta-Palembang bakal menerima durian runtuh apabila dijangka menerima habuan mencecah RM1.5 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang dijangka menjadi antara penerima terbesar sebanyak RM113,333 selepas membolot ketiga-tiga warna pingat di Sukan Asia Jakarta-Palembang, baru-baru ini.
Ia hasil kejayaan juara keirin dunia 2016 itu memenangi pingat emas acara pecut lelaki di samping pingat perak dalam acara pecut berpasukan dan keirin (gangsa).
Turut tidak ketinggalan pemain bowling negara, Muhammad Rafiq Ismail yang dijangka membawa pulang imbuhan RM 93,333 selepas memenangi satu emas dan satu perak.
Untuk rekod, insentif kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu menawarkan ganjaran RM80,000 kepada pemenang emas acara individu, berbanding acara berpasukan yang nilainya dipecahkan mengikut jumlah ahli pasukan.
Sebanyak tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa dimenangi kontinjen negara di Sukan Asia kali ini.
Walaupun mencapai sasaran ditetapkan, namun pencapaian itu tetap dianggap kurang memuaskan apatah lagi dengan pelaburan ratusan juta ringgit ke atas Program Podium sejak dua tahun lalu.
Pemenang pingat Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang menerima imbuhan tertinggi SHAKAM
Emas Perak Gangsa Keseluruhan
1. Azizulhasni Awang (Basikal trek) RM 80,000 RM 13,333 RM 20,000 RM 113,333
2. Muhammad Rafiq Ismail (Boling) RM 80,000 RM 13,333 - RM 93,333
3. Datuk Nicol Ann David (Skuasy) RM 80,000 - RM 5,000 RM 85,000
4 Muhammad Fauzi Kaman (Layar) RM 80,000 - - RM 80,000
5. Nafiizwan Adnan (Skuasy) RM 20,000 - RM 20,000 RM 40,000
6. Esther Cheah (Boling) RM 26,666 RM 8,000 - RM 34,666
7. Siti Safiyah Amirah (Boling) RM 26,666 RM 8,000 - RM 34,666
8. Syaidatul Afifah (Boling) RM 20,000 RM 8,000 - RM 34,666
9. Muhd Norhaffizi Razak (Takraw) RM 16,000 RM 8,000 - RM 24,000
10. Farhan Adam (Takraw) RM 16,000 RM 8,000 - RM 24,000
11. Mohamad Azlan Alias (Takraw) RM 16,000 RM 8,000 - RM 24,000
12. Zulkifli Abdul Razak (Takraw) RM 16,000 RM 8,000 - RM 24,000
13. Syahir Mohd Rosdi (Takraw) RM 16,000 RM 8,000 - RM 24,000
14. Ng Eain Yow (Skuasy) RM 20,000 - - RM 20,000
15. Ivan Yuen (Skuasy) RM 20,000 - - RM 20,000
16. Mohd Syafiq Kamal (Skuasy) RM 20,000 - - RM 20,000