arena

Tindakan tegas jika langgar disiplin

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: “Tindakan tegas akan dikenakan ke atas atlet SUKMA (Sukan Malaysia) Terengganu jika mereka melanggar disiplin,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Tegasnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi mengenai isu disiplin atlet dan memandang serius perkara itu, kerana ia bukan hanya membabitkan maruah kontinjen Terengganu yang bersaing malah imej negeri.

Beliau memberi peringatan itu kepada kontinjen Terengganu yang bakal bertandang ke Perak untuk menyertai SUKMA ke-19, yang bakal membuka tirai pada 12 hingga 22 September ini.

“Sekiranya berlaku masalah disiplin kepada atlet sebagaimana yang saya sudah maklum sebelum ini, peraturan tetap peraturan dan tindakan tegas pasti akan diambil yang bertujuan untuk memberi pengajaran dan mendidik mereka.

“Bagaimanapun, saya yakin atlet yang kita didik dan latih ini akan mengikuti sepenuhnya disiplin yang ditetapkan.

“Semua atlet kita faham kerana mereka membawa satu harapan tinggi kepada rakyat Terengganu berjumlah 1.5 juta. Jadi, kita sangat percaya mereka tidak akan mensia-siakan harapan dan bebanan berat yang sedang mereka pikul itu,” katanya.

Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut- turut dalam SUKMA 2008, 2010, 2011 dan 2012, menyasarkan untuk meraih gelaran itu buat kali kelima dalam temasya kali ini.

Mereka menetapkan sasaran 53 emas, 32 perak dan 50 gangsa ke atas bahu 555 atlet yang bakal bertanding termasuk atlet kebangsaan yang bertanding di Sukan Asia 2018 di Jakarta- Palembang.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 1:02pm
d