arena

Kerana teman wanita

Oleh Agensi

LONDON: Bintang Manchester City, Leroy Sane meninggalkan kem latihan Jerman menjelang aksi antarabangsa bagi menantikan kelahiran anak pertamanya.

Jurulatih Jerman, Joachim Low memberikan kebenaran untuk pemain sayap itu meninggalkan kem di Munich atas ‘alasan peribadi.’

Sane, 22, yang dimasukkan selaku pemain gantian ketika Jerman mencatat keputusan seri 0-0 menentang Perancis akan terlepas aksi antarabangsa menentang Peru, esok untuk menemani pasangannya, Candice Brook.

Brook, yang sembilan tahun lebih tua berbanding Sane difahamkan sudah berada di kediaman pemain itu di Manchester.

“Susulan perbincangan dengan ketua jurulatih, Joachim Low, @LeroySane19 meninggalkan hotel pasukan di Munich atas alasan peribadi dan tidak bermain untuk  #GERPER.” tulis Persatuan Bolasepak Jerman dalam satu kenyataan di laman Twitter.

Prestasi Sane, yang tidak disenaraikan Jerman bagi kempen Piala Dunia di Russia menjadi perhatian sekali pun jurulatih City, Pep Guardiola mengesahkan ketiadaannya dalam kesebelasan utama menentang Newcastle minggu lalu tiada kaitan dengan masalah sikap.

Sane masih belum tersenarai dalam kesebelasan utama City bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, selepas dikatakan gagal menarik perhatian pengurusnya ketika latihan.

Perlawanan City berikutnya adalah menentang Fulham pada 15 September ini di Etihad dengan ketiadaan Sane bersama kem Jerman hadir kurang seminggu selepas rakan senegaranya, Toni Kroos menggesanya untuk memperbaiki bahasa badannya.

Kroos yang juga bintang Real Madrid berkata: “Kadang kala kamu perasan yang lenggok badan Leroy sama setiap kali kami menang atau tewas. Dia perlu memperbaikinya.

“Dia memiliki segala-gala yang diperlukan untuk menjadi pemain berkelas dunia, tetapi kadang kala kamu perlu memberitahunya dia perlu beraksi dengan lebih baik.”

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 1:57pm
d