arena

Lloris mungkin hilang lilitan kapten

Oleh Agensi

LONDON: Kapten Tottenham, Hugo Lloris didapati mengambil alkohol berlebihan ketika anggota polis menahannya bulan lalu, ketika memandu kereta Porsche baru bernilai 65,000 pound (RM348,000).

Penjaga gol itu memandu mengambil 80 mikrogram alkohol, lebih dua kali ganda berbanding 35 mikrogram yang dibenarkan, dedah kertas pertuduhan mahkamah.

Pemain berusia 31 tahun yang tinggal di hartanah bernilai 5.9 juta (RM31.6 juta) di utara London itu memenangi Piala Dunia pada Jun lalu dengan turut bertindak selaku kapten pasukan.

Dia dijangka akan hadir ke Mahkamah Majistret Westminster pada 12 September ini. Lloris ditahan jam 2.10 pagi oleh anggota polis, sebelum didakwa pada hari sama dan berisiko mungkin akan terlepas lilitan kapten Tottenham.

Harry Kane yang menjadi kapten untuk England di Piala Dunia dilihat sudah bersedia menggalas tanggungjawab itu.

Selepas ditahan, Lloris yang menerima gaji  150,000 pound (RM800,000), ditahan di balai polis Charing Cross.

Difahamkan dia menghabiskan masa selama tujuh jam di dalam tahanan, sebelum didakwa dan kemudian dilepaskan bersama ikat jamin.

Dia sebelum ini berkata: “Saya memohon maaf kepada seluruh keluarga, kelab, rakan sepasukan, pengurus dan semua penyokong.

“Meminum minuman keras sememangnya satu kesalahan. Saya bertangungjawab sepenuhnya mengenai atas saya.”

Jurucakap kelab pula berkata: “Kelab amat serius dengan tindakan ini.”

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 2:03pm
d