arena

Uruguay, Argentina 'bedal habis'

Oleh Reuters

HOUSTON, Amerika Syarikat: Penyerang Barcelona, Luis Suarez meledak dua gol termasuk penalti ‘Panenka’ menarik ketika membantu Uruguay menewaskan Mexico 4-1, pada aksi persahabatan antarabangsa di Amerika Syarikat, hari ini.

Satu lagi gergasi Amerika Selatan, Argentina turut melupakan kekecewaan di pentas Piala Dunia Russia apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Guatemala.

Uruguay, yang tersingkir di Piala Dunia oleh juara, Perancis di suku akhir mendahului permainan seawal minit ke-21, menerusi Jose Maria Gimenez tetapi Raul Jimenez menyamakan kedudukan buat Maxico, empat minit kemudian.

Pemain terbaik perlawanan, Suarez kemudian menjaringkan gol pertamanya ketika babak pertama berbaki sembilan minit dan sekali lagi meledak pada minit ke-40, menerusi penalti yang disempurnakan dengan kuisan.

Gol keempat Uruguay dijaringkan Gaston Pereiro pada babak kedua. Sekali pun Mexico boleh merapatkan kembali jurang, Jimenez gagal menyempurnakan penalti apabila rembatannya diselamatkan Fernando Muslera ketika perlawanan berbaki 16 minit.

Di Los Angeles, Argentina yang berwajah baharu dan tanpa kelibat bintangnya Lionel Messi yang berehat sementara daripada kancah antarabangsa serta Javier Mascherano yang bersara, jelas terlalu kuat buat Guatemala.

Gonzalo Martinez meledak gol pertama Argentina pada minit ke-27 menerusi penalti, sebelum Giovani Lo Celso menggandakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi rembatan voley menarik dari jarak 25 meter.

Giovani Simeone, anak kepada pengurus Athletico Madrid, Diego Simeone melengkapkan jumlah jaringan pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan dua minit sebelum babak pertama berakhir.

“Sejak saya masih kanak-kanak ayah saya memberitahu yang saya akan berada di sini,” kata Simeone.

“Tidak kira siapa lawan, ada banyak keresahan untuk melihat Argentina baharu ini. Pada separuh masa pertama kami melakukan segala-gala yang kami perlu lakukan.”

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 3:01pm
d