arena

Pahang mahu 11 emas

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Skuad menembak Pahang dituntut tampil lebih cemerlang dan perlu mencuba melepasi sasaran 11 emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang berlangsung dari 12 hingga 22 September ini. 

Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Menembak Negeri Pahang (PMNP), Datuk Seri Abd Khadir Mohd Shariff berkata, kejayaan meraih 11 pingat emas pada SUKMA Sarawak 2016 perlu dijadikan dorongan terbaik untuk melepasi sasaran berkenaan.\

"Tiada yang mustahil untuk mengatasi sasaran (11 emas) itu kerana Pahang pernah meraih 20 pingat emas pada SUKMA Pahang 2012. 

"Jadi, kami menuntut pencapaian terbaik daripada 25 atlet, masing-masing 14 lelaki dan 11 wanita, sekali gus menjadi penyumbang pingat terbanyak pada temasya sukan kali ini. 

"Berdasarkan komitmen daripada pengurusan termasuk jurulatih dan atlet, gelaran juara keseluruhan akan dapat dipertahankan sejak melakukannya pada SUKMA Terengganu 2008," katanya. 

Abd Khadir berkata demikian selepas majlis penyerahan baju T di Kompleks Lapang Sasar Menembak Sukan Pahang (SUKPA), di sini, hari ini. 

Pada temasya kali ini, Majlis Sukan Pahang (MSP) mengumumkan sukan menembak antara penyumbang utama sasaran 32 emas selepas kejayaan mengutip 11 emas di Sarawak dua tahun lalu. 

Sebanyak 26 emas dipertandingkan dalam acara menembak dan saingan sengit dijangka dijangka daripada pasukan tuan rumah, Perak, Selangor dan Johor. 

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 3:27pm
d