arena

Peluang tebus duka pesilat negara

Oleh Sukhairi Thani

KONTINJEN silat negara mempunyai tempoh tiga bulan untuk bangkit di pentas kompetitif antarabangsa selepas dikecewakan di Sukan Asia Jakarta-Palembang, baru-baru ini.

Pasukan silat kebangsaan yang meraih empat perak dan empat gangsa di gelanggang Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta, kali ini bakal menyertai Kejuaraan Dunia pada 13 hingga 16 Disember ini di Singapura.

Kali ini, mereka mempunyai misi untuk mempertahankan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik dunia seperti dilakar ketika di Bali, Indonesia, dua tahun lalu.

Ketika itu, Malaysia berada di tangga ketiga keseluruhan di belakang Vietnam dan tuan rumah Indonesia dengan mengumpul tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

"Kami mempunyai hasrat untuk mempertahankan kedudukan (keseluruhan) seperti di Kejuaraan Dunia 2016 di Bali," kata Pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok. "Kami mahu mempertahankan kedudukan antara tiga terbaik di dunia."

Osman turut memberi bayangan kontinjen ke Singapura nanti bakal diisi dengan barisan pesilat sama di Sukan Asia yang menyaksikan tonggak utama, Al-Jufferi Jamari meraih perak selepas menarik diri susulan ketidakadilan juri.

"Kami mahu meneruskan perjuangan, semangat tetap ada dan sebelum pulang ke tanah air (daripada Jakarta), saya ada bertemu dengan pesilat dan mereka nyata masih bersemangat.

"Kami akan mengekalkan pesilat di Sukan Asia ke Kejuaraan Dunia nanti. Namun mungkin akan ada satu ataupun dua pesilat baharu yang akan disenaraikan sebagai pendedahan," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 10:24pm
d