arena

Tiada lagi alasan padang becak

Oleh Aziman Rosdi

 

SKUAD Harimau Malaya tiba di Phnom Penh hari ini dengan misi untuk segera menebus duka tewas 2-0 di tangan Taiwan dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi.

Mungkin alasan padang becak sehingga menyebabkan anak buah jurulatih Tan Cheng Hoe bergelut dalam perlawanan itu boleh diterima.

Namun bagi penjaga gol Farizal Marlias, mereka tidak boleh melakukan kesilapan sama apabila bertemu Kemboja dalam satu lagi aksi persahabatan kelas A di Stadium Olimpik Phnom Penh, Isnin ini.

“Kami bermain kurang baik dan melakukan kesilapan mudah tetapi positifnya, pemain-pemain cuba bermain hantaran pendek dan tidak cepat hilang bola walaupun keadaan padang yang kurang baik,” kata Farizal yang kini beraksi dengan Johor Darul Ta’zim.

“Bertemu Kemboja, kami harus mengurangkan kesilapan dan tidak memberi ruang kepada mereka kerana sedikit kelalaian akan memberikan mereka peluang menjaringkan gol.”

Dalam aksi di Taipei City, Farizal yang menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama sejak tahun 2015 menyaksikan gawang dibolosi pada minit ke-13 menerusi percubaan Wu Chun Ching dan Chu En-Le (m-53).

“Sudah pasti ini bukan keputusan yang saya harapkan. Saya perlu bekerja keras lagi selepas ini untuk mempertingkatkan lagi prestasi saya,” katanya.

Bagaimanapun menentang Kemboja yang dikendalikan bekas bintang Jepun Keisuke Honda, Cheng Hoe kemungkinan akan menguji dua lagi penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Kemboja ialah pada Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar dengan skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika itu menang 3-2.

Kemenangan amat penting buat skuad kebangsaan dalam mencari keyakinan sebelum mengharungi kempen Piala AFF November depan selain memperbaiki ranking 171 dunia ketika ini.

 

 

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 10:40pm
d