arena

Naomi tumbangkan Serena Williams

Oleh AFP

NAOMI Osaka muncul pemain Jepun pertama memenangi gelaran individu Grand Slam ketika lawan dan idolanya, Serena Williams mendakwa pengadil perlawanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘perompak’, hari ini.

Osaka, 20, melakar kemenangan 6-2, 6-4 pada aksi final di New York yang menyaksikan Serena berang di set kedua selepas pengadil, Carlos Ramos memberi amaran kepadanya kerana didakwa menerima arahan daripada jurulatih.

Dia kemudian mendakwa pengadil sebagai perompak sebelum memohon maaf.

Kemudian, Serena dikenakan penalti satu mata, selepas menghempas raket dan situasi itu menyebabkannya semakin berang.

“Anda menyerang karakter saya. Anda seorang penipu,” kata Williams kepada Ramos yang mengenakan penalti satu mata kepadanya, sekali gus menyaksikan Osaka diambang kemenangan selepas mendahului 5-3 di set kedua.

Serena bagaimanapun memenangi mata seterusnya, tetapi Osaka yang mempamerkan permainan berkualiti serta penampilan luar biasa, meraih mata kemenangan selepas itu sekali gus mencipta sejarah untuk negaranya.

Serena yang sedang memburu Grand Slam pertamanya sejak melahirkan anak perempuan, Olympia pada 1 September 2017, dinafikan untuk melakar kemenangan Grand Slam buat kali ke-24 - untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court.

Penyokong setia Serena kemudian menunjukkan bantahan ketika acara penyampaian hadiah, tetapi dia meminta mereka untuk menunjukkan rasa hormat kepada Osaka.

“Dia bermain dengan baik. Ini adalah Grand Slam pertamanya.

“Marilah sama-sama memberikan kredit kepada semua pihak. Jangan melakukan ejekan lagi dan tahniah Osaka,” katanya.

Ketika Osaka diberi penghormatan untuk melakukan ucapan, dia kelihatan buntu.

“Saya tahu semua memberi sokongan kepada Serena dan saya meminta maaf kerana ia berakhir seperti ini.

“Ini adalah impian saya untuk beraksi bersama Serena di Final AS. Saya rasa bertuah dapat beraksi bersama dengan anda. Terima kasih,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 7:47am
d