arena

Kane 'tembak' pengadil

Oleh AFP

HARRY KANE menghambur marahnya kepada pengadil Belanda, Danny Makkelie kerana membatalkan jaringan penyamaan lewat England yang tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah, di London, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan deretan kekalahan England sejak mara ke separuh akhir Piala Dunia Russia berterusan, tetapi menghadiahkan jurulatih Sepanyol, Luis Enrique kemenangan pertama.

Selepas tewas di peringkat separuh akhir serta penentuan tempat ketiga dan keempat di Russia, England dinafikan mata apabila Makkelie memihak kepada penjaga gol Sepanyol, David de Gea atas sentuhan yang sedikit oleh Danny Welbeck.

“Pada masa yang genting, kamu memerlukan pengadil untuk terus kental, tetapi malangnya dia tidak dapat melakukannya,” kata Kane.

“Ketika tempoh seperti ini, kamu memerlukan pengadil yang tegas dan tidak di bawah tekanan, secara asasnya membuat keputusan yang salah.”

Begitupun, pengurus England, Gareth Southgate mengakui skuad kendaliannya tidak beraksi begitu baik.

Sepanyol bangkit daripada ketinggalan, susulan jaringan pembukaan Marcus Rashford sebelum babak pertama berakhir menerusi Saul Niguez dan Rodrigo.

Sekali pun masih menikmati kejayaan mara ke peringkat empat terbaik di Piala Dunia, England kini tewas tiga perlawanan berturut-turut buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

“Kami perlu menerima hakikat Sepanyol lebih bagus daripada kami untuk tempoh yang lebih lama dalam perlawanan,” kata Southgate.

“Penguasaan bola mereka di tahap terbaik. Kami pula tidak begitu lancar ketika memberikan tekanan, tetapi apabila kami memberikan tekanan yang baik terhadap mereka, mereka juga mempunyai beberapa pemain yang baik.

“Kami pula tidak dapat melakukannya apabila pasukan lawan memberikan tekanan yang tinggi kepada kami.”

Begitupun, ada sedikit kelegaan bagi England, apabila pertahanan kanannya, Luke Shaw sah tidak berdepan masalah serius sekali pun terpaksa dipapah keluar pada babak kedua disebabkan kecederaan kepala.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 8:01am
d