arena

Salah tebus penalti dengan 2 gol

Oleh AFP

JOHANNESBURG: Bintang Liverpool, Mohamed Salah meledak dua gol tetapi gagal menyempurnakan dua penalti, ketika Mesir mengharungi permulaan ‘cemerlang’ di bawah jurulatih Mexico, Javier Aguirre dengan membelasah Niger 6-0, awal pagi tadi.

Sebelum pertembungan kedua kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika itu, Salah bertegang urat dengan pegawai Persatuan Bolasepak Mesir berikutan pencabulan hak imej dan keselamatan peribadinya.

Begitupun, apabila berada di atas padang, peledak berbisa Mesir membuktikan ketajamannya dengan memenangi penalti seawal minit pertama, tetapi diselamatkan.

Selepas Marwan Mohsen dan Ayman Ashraf meletakkan Mesir mendahului 2-0, Salah memperoleh satu lagi penalti, tetapi turut diselamatkan namun tetap berjaya memperoleh gol untuk mendahului 3-0 sebelum rehat babak pertama.

Penjaring terbanyak Liverpool musim lalu dengan 32 gol di Liga Perdana Inggeris pada kempen sulungnya di Anfield mencipta peluang untuk jaringan keempat Mesir menerusi Salah Mohsen. 

Dia kemudian meledak gol kedua peribadinya dan kelima buat Mesir sebelum pemain Arsenal, Mohamed Elneny melengkapkan jumlah jaringan dua minit sebelum perlawanan berakhir.

Kemenangan jelas permulaan baik buat bekas jurulatih Mexico dan Jepun, Aguirre, yang baru-baru ini menandatangani kontrak empat tahun bersama juara tujuh kali Afrika itu.

Aguirre mengambil alih jawatan jurulatih Argentina, Hector Cuper, yang kontraknya tidak diperbaharui selepas Mesir tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia kepada Uruguay, tuan rumah Russia dan Arab Saudi.

Sekali pun meraih kemenangan besar, Mesir masih di belakang Tunisia dalam perebutan Kumpulan J, selepas mereka tewas 0-1 pada pertembungan tetangga Afrika Utara itu, 15 bulan lalu.

Sementara itu, Nigeria turut mencatat kemenangan 3-0 ke atas Seychelles dalam Kumpulan E, manakala bekas bintang Belanda, Clarence Seedorf hampir dimalukan selepas skuad kendaliannya Cameroon diikat negara kerdil, Comoros 1-1.

 

 

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 11:03am
d