arena

Ronaldo 'bertapa' di Turin

Oleh Agensi

TURIN: Cristiano Ronaldo terus ‘menyepi’ di pentas antarabangsa apabila dia mengambil keputusan untuk menjalani latihan bersama Juventus di Turin di bawah kendalian Massimiliano Allegri.

Pemain berusia 33 tahun itu yang turun beraksi ketika kelabnya mencatat kemenangan 2-1 ke di Parma, mengambil keputusan tidak beraksi bersama Portugal minggu ini dalam usahanya untuk lebih serasi dengan kelab baharunya itu.

Ronaldo masih belum dapat meledak gol untuk Juventus selepas berpindah dari Real Madrid dengan nilai 100 juta pound (RM535 juta).

Situasi ini dilihat menjadi punca dia mula merasai tekanan, selepas kelabnya mencatat keputusan bersih 100 peratus dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan Serie A.

Dia dilihat lebih selesa berlatih di Juventus berbanding kem latihan pusat Portugal yang bakal berdepan Itali pada perlawanan pertama Liga Negara-Negara UEFA, pada Isnin.

Peluang untuk memenangi perlawanan itu nyata terjejas berikutan ketiadaan Ronaldo tetapi jurulatih Portugal, Fernando Sanches tidak menyesal dengan keputusan melepaskan pemain bintangnya itu.

“Selepas bercakap dan selepas dia berpindah ke Juventus, kami faham keputusan paling baik baginya adalah tidak perlu mewakili skuad kebangsaan untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Ronaldo pernah terlepas perlawanan La Liga ketika bersama Real musim lalu dalam usahanya untuk berada ditahap terbaik bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara.

Dia masih belum membuat keputusan untuk bersara di pentas antarabangsa kerana mahu muncul pemain pertama Eropah pertama mencetak sehingga 100 gol.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 1:58pm
d