arena

Giroud tamat kemarau gol

Oleh AFP

PARIS: Olivier Giroud menamatkan kemarau jaringan di pentas antarabangsa apabila meledak gol ketika membantu Perancis menewaskan Belanda 2-1, awal pagi tadi - dalam perlawanan pertama di laman sendiri selepas menjulang Piala Dunia, Julai lalu.

Giroud bijak memanfaatkan bola silang hantaran Benjamin Mendy pada minit ke-75, untuk menjaringkan gol pertama dalam 11 perlawanan bersama skuad kebangsaan Perancis.

Penyerang Chelsea itu mengharungi kempen Piala Dunia di Russia tanpa sebarang gol.

Sebelum itu, sensasi remaja berusia 19 tahun, Kylian Mbappe yang mempamerkan aksi cukup menakjubkan meletakkan Perancis di depan pada babak pertama, namun Ryan Babel berjaya menyamakan kedudukan di babak kedua.

The Stade de France bergema apabila Giroud menjaringkan gol kemenangan dalam aksi kompetitif, Liga Negara-Negara Eropah berkenaan.

Bagaimanapun, perlawanan itu dilihat lebih kepada pesta sambutan kejayaan Perancis menjulang Piala Dunia, apabila pemain tuan rumah meraikan kejayaan mereka di depan hampir 80,000 penonton selepas wisel penamat.

“Kemenangan lebih penting, jadi kami boleh meraikan parti ini dengan lebih meriah,” kata jurulatih, Didier Deschamps kepada stesen televisyen M6.

“Saya cukup berbangga dengan Olivier. Sebagai penyerang, mereka akan menempuh detik sukar gagal menjaringkan gol, tetapi dia cukup penting untuk membina pasukan dan menentukan corak permainan.

“Dia menjaringkan gol menakjubkan. Ia sudah cukup untuk memberikan kami kemenangan, itu lebih bernilai,”

Pasukan Perancis dan penyokong mereka mengakui, peluang itu adalah detik terbaik untuk dijadikan sambutan umum selepas bergelar juara Piala Dunia di Russia.

Sehari selepas menumbangkan Croatia 4-2 di pentas final, pemain skuad Les Bleus diarak di Champs-Elysees Avenue di Paris untuk menghadiri sambutan yang diketuai Presiden, Emmanuel Macron.

Bagaimanapun, sambutan itu sedikit mengecewakan kerana hampir 300,000 peminat membanjiri kawasan berkenaan menyebabkan kesesakan teruk dan kali ini, semua pemain Piala Dunia diperkenalkan seorang demi seorang selepas tamat perlawanan.

Trofi Piala Dunia dipamerkan sekali lagi, di lokasi yang sama ketika Perancos memenangi gelaran itu buat pertama kali pada 1998.

“Ini adalah masa untuk berparti.” kata Pogba kepada M6.

“Ketika kami pulang ke Perancis, masanya terlalu singkat. Kawalan keselamatan terlalu ketat di sekitar bas yang kami naiki, dan kami tidak begitu menikmati sambutan bersama peminat.

“Kali ini, kami di Stade de France. Ia penuh, ia menakjubkan,”

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 7:58am
d