arena

Perlis harap tuah sentuhan Ryan

Oleh Aida Adilah Mat

IPOH: Skuad taekwondo Perlis mengharapkan tuah sentuhan bekas atlet kebangsaan, Ryan Chong untuk membantu mempamerkan aksi mantap dan memperbaiki pencapaian dua tahun lalu, pada penyertaan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak kali ini.

Acara taekwondo akan bermula secara rasmi pada 17 September ini di Dewan Tan Poh Sang, Teluk Intan dan menawarkan 19 emas untuk menjadi rebutan dengan dua kategori dipertandingan - kyorugi dan poomse.

Bagi Ryan yang mula membimbing skuad taekwondo Perlis sejak dua tahun lalu, inilah masanya setiap atlet mempamerkan bakat mereka dan menunjukkan kebolehan.

“Saya berharap atlet saya akan bertanding dengan sedaya upaya mereka walaupun kebanyakan daripada mereka adalah kali pertama berbaksi di SUKMA.

“Buang perasaan negatif, tunjukkan kebolehan dan apa yang mereka pelajari sejak dua tahun lalu. Keyakinan adalah aspek yang penting yang perlu ada dalam diri atlet. Jadi tunjukkan kemampuan untuk mengharumkan nama Perlis di SUKMA kali ini,” katanya.

Dua tahun lalu, skuad taekwondo Perlis menyumbangkan satu emas dan menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian itu dengan menghadiahkan dua emas kali ini.

Perlis mempertaruhkan 15 atlet dalam acara kyorugi dan dua atlet dalam acara poomse dengan emas disandarkan kepada barisan atlet kyorugi.

Mengulas mengenai persaingan, Ryan yang pernah menghadiahkan pingat perak di Sukan SEA Singapura dan Myanmar berkata, antara atlet yang perlu diberi perhatian adalah dari Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan,

Bagaimanapun, tegasnya kelibat atlet Selangor tidak boleh dipandang rendah kerana mereka juga antara yang boleh meranapkan impian skuad Perlis.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 1:21pm
d