arena

Johor yakin takluk Velodrom Rakyat

Oleh Jumiati Rosly dan Adeela Aida Mat

 

IPOH: Skuad berbasikal Johor mempertaruhkan gabungan pelumba elit dan pelumba remaja kebangsaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak kali ini bagi merangkul sekurang-kurangnya empat pingat emas yang ditawarkan.

Jurulatih skuad berbasikal Johor, Muhammad Firdaus Daud berkata, beliau yakin pelumba Johor mampu menyerlah untuk menghadiahkan pingat itu berdasarkan prestasi terkini khasnya, pelumba trek.

“Daripada lapan acara yang dipertandingkan di trek, saya yakin kami mampu menguasai trek di Velodrom Rakyat nanti.

“Antara sandaran emas kami pastilah kepada Eiman Firdaus Zamri yang juga pemegang rekod kebangsaan acara kejar mengejar lelaki individu yang dilakukannya pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos lalu,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Selain Eiman, Johor turut menyenaraikan Muhammad Nur Aiman Rusli yang akan diturunkan dalam tiga acara – pecut berpasukan, perlumbaan scratch dan juga ujian masa individu sejauh 40 kilometer yang akan berlangsung pada Rabu ini di Taiping.

Emas juga disandarkan menerusi acara kejar mengejar berpasukan lelaki yang akan menyaksikan gabungan kuartet – Eiman, Nur Aiman, Daniel Haikal Edy Suhaidee dan juga juara remaja Kejohanan Berbasikal Asia, Zulhelmi Zainal.

Untuk rekod, kali terakhir acara berbasikal trek dipertandingkan adalah pada SUKMA 2013 di Kuala Lumpur.

Muhammad Firdaus berkata, biarpun pelumbanya diletakkan sebagai pelumba pilihan untuk menguasai acara trek yang hanya akan bermula pada 20 September ini, beliau tidak mahu anak buahnya itu terlalu yakin.

“Kami tidak boleh sesekali alpa terutama sekali daripada saingan pelumba dari Terengganu dan Selangor.

“Terengganu dan Selangor juga mempertaruhkan pelumba kebangsaan untuk perlumbaan nanti,” katanya.

Pada edisi ke-19 SUKMA kali ini, kontinjen Johor mempertaruhkan keseluruhan 25 pingat emas. Edisi lalu di Sarawak menyaksikan Johor berada di tempat kelapan dengan 19 emas.

 

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 1:57pm
d