arena

Petanda positif di Oman

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Selepas berkampung hampir seminggu di Oman bagi mengharungi tiga aksi persahabatan berdepan kelab divisyen satu liga berkenaan, skuad bawah 19 (B-19) tahun negara kini lebih bersedia untuk mengharungi saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang berlangsung di Indonesia bulan depan. 

Pengendali pasukan, Bojan Hodak mengakui pendedahan tiga perlawanan itu cukup penting buat anak buahnya untuk memahami corak dan gaya permainan pantas khususnya apabila menentang pasukan pilihan, Arab Saudi yang diundi bersama dalam Kumpulan D selain Tajikistan serta China.

"Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, berdasarkan kedudukan ranking AFC, kita adalah pasukan paling bawah dalam kumpulan.

"Namun, dengan persiapan awal yang kita lakukan, saya percaya bukan mudah untuk mereka mengatasi kita apabila kejohanan itu bermula nanti.

"Malah, keyakinan saya makin bertambah apabila melihat persembahan positif pasukan di sini (Oman) dan percaya pemain sudah bersedia untuk melakar kejutan ke atas dua pasukan Arab serta China," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada tiga aksi itu, pasukan negara tumbang di tangan Al Suwaiq FC dengan 0-4 sebelum bangkit dalam aksi kedua apabila menewaskan Oman Club 2-0.

Bagaimanapun, rentak itu gagal dipertahankan pada aksi terakhir apabila tumpas 0-1 kepada Muscat Club yang berlangsung semalam.

"Aksi pertama lawan cukup kuat. Pada aksi kedua pula, kedua-dua pasukan memberi tentangan sengit namun kita lebih bernasib baik. Dalam perlawanan ketiga, ia berlangsung 50-50 dan patutnya berakhir dengan 0-0," katanya. 

Skuad kendalian Hodak yang muncul juara Piala AFF pada Julai lalu bakal mengharungi ujian getir selepas diundi berada bersama dua bekas juara dengan Arab Saudi pernah menjulang trofi berkenaan sebanyak dua kali pada 1986 dan 1992, manakala China memenanginya pada 1986.

Pasukan negara juga pernah mencatat keputusan baik dengan tiga kali muncul naib juara kejohanan iaitu pada 1959, 1960 dan 1968.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 4:37pm
d