arena

Pelayar 'Ganu' tekad dominasi pelayaran

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Terengganu berazam mengekalkan status sebagai kuasa sukan pelayaran dalam Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Perak yang akan bermula Rabu ini.

Ketua jurulatihnya, Abdul Rani Idris berkata, beliau optimis 17 atlet negeri yang terdiri daripada tujuh atlet kebangsaan, dua bekas atlet negara dan lapan pelayar berbakat mampu mengekalkan gelaran itu dengan sasaran awal lima pingat emas daripada 14 acara dipertandingkan.

Beliau berkata, dua atlet pelayaran negara yang mengutip pingat gangsa dalam Sukan Asia di Jakarta Palembang baru-baru ini iaitu Ilham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman menjadi sandaran meraih emas.

"Ilham yang baru berusia 19 tahun dan Nuur Fatin Solehah, 17, masing-masing akan beraksi dalam dua acara iaitu windsurfing dan rs-one lelaki dan wanita.

"Lima lagi atlet kebangsaan iaitu Asri Azman beraksi dalam acara laser standard, Abdul Latif Mansor dan Umar Al-Farouk Mohd Zahawi (International 420 lelaki), Asmadi Azman (optimist berpasukan) dan Siti Nur Fatihah Norulakhairi (optimist perempuan) turut disandarkan pingat dalam sukan itu yang dijadualkan bermula 15-20 September ini di Pangkalan TUDM Lumut," kata Abdul Rani.

"Kami berada di landasan terbaik merangkul lebih daripada lima emas disasarkan kerana gabungan atlet kebangsaan dan negeri kali ini dilihat mampu melonjak prestasi pasukan," kata Abdul Rani yang turut dibantu jurulatih Hamdan Mohd Rozi, Ku Anas Ku Zamil, Mohd Saifullah Mohd Esa dan Tengku Khairudeen Tengku Mohamed.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 7:42pm
d