arena

Berakhirnya kemarau trofi Bradley

Oleh AFP

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Pemain Amerika Syarikat, Keegan Bradley menamatkan kemarau kejuaraan PGA AS selama enam tahun hari ini apabila dia melakukan par pada lubang pertama playoff untuk menundukkan pemain nombor satu dunia yang baru Justin Rose bagi memenangi Kejuaraan BMW.

Bradley menang kejuaraan keempat kariernya, ketiga menerusi penentuan playoff, untuk menafikan Rose kemenangan ketiganya musim ini sekalipun catatan naib juara sudah mencukupi buat pemain England itu mengungguli ranking buat kali pertama dalam kariernya.

Rose membenam par dari jarak 15 kaki pada lubang ke-72 untuk mencatat tiga bawah par 67 dan menyamai Bradley, yang berakhir dengan 64, 20 bawah par 260 keseluruhan pada pusingan akhir di Aronimink yang tergendala sehari kerana hujan lebat.

Bradley, pemenang Kejuaraan PGA 2011, tidak menang sejak mengungguli Jemputan WGC Bridgestone.

“Banyak berlaku terhadap saya dalam tempoh enam tahun ini,” kata Bradley.

“Ia terlalu sukar memandangkan saya pernah berada dalam pasukan Piala Ryder, menyertai pasukan Piala Presiden, kemudian terkeluar daripada kelompok 100 terbaik dunia. Ia memang perit.”

Bradley bangkit dengan kembali berlatih di bawah kendalian jurulatih Darren May dan secara perlahan-lahan meningkatkan semula tahap permainannya.

“Saya berasa terlalu tenang hari ini. Ia memang agak pelik kerana saya tidak biasa dilihat dalam kelompok pendahulu, tapi saya melihatnya sepanjang hari dan saya berasa amat mantap,” kata Bradley.

Rose, tidak seperti Bradley, muncul antara lima pemain yang boleh meraih hadiah AS$10 juta (RM41.5 juta) sebagai juara playoff PGA AS jika menang pada kejohanan penamat musim Kejuaraan Jelajah di Atlanta, dua minggu lagi.

“Saya lebih suka hadir ke Kejuaraan Jelajah sebagai pemenang di sini kerana jelas saya mahu menghuni tangga nombor satu dengan memenangi kejohanan golf, tapi hari ini amat menyeronokkan,” kata Rose.

Pemain AS, Billy Horschel dan Xander Schauffele berkongsi tangga ketiga dengan 261 diikuti pemain Ireland Utara, Rory McIlroy dengan 262.

Tiger Woods, pemenang 14 gelaran utama pada musim sulungnya sejak kembali daripada masalah belakang, menghasilkan penamat 65 untuk berkongsi tangga keenam dengan 263 dan memastikannya meraih tempat dalam kelompok 30 pemain pada kejohanan penamat musim itu.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 11:50am
d