arena

'Johor, Terengganu sila jawab'

Oleh Azizan Hashim 

IPOH: Johor dan Terengganu diberi masa sehingga esok untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka, ekoran pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan dalam perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, semalam.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata sebuah jawatankuasa khas dibentuk dan isu itu sudah dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kita sudah mendapat laporan pengadil perlawanan, pegawai pertandingan dan menyerahkannya kepada FAM.

"Johor dan Terengganu perlu menjawab pertuduhan terhadap mereka selewat-lewatnya pada 12 September," katanya dalam sidang media di Pusat Media SUKMA di Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini, hari ini. 

Insiden pergaduhan itu berlaku pada penghujung perlawanan Kumpulan B, di Padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dimenangi Terengganu 2-1.

Video kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial sejak petang semalam.

Shapawi yang memandang serius kejadian itu meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

"Kita berharap atlet tidak bertindak mengikut perasaan serta mengawal emosi.

"Mereka tidak boleh mengambil tindakan yang akan mencemar kedudukan dan juga nama baik negeri dan pasukan masing-masing.

"Jika ada yang tidak berpuas hati, gunakan saluran yang betul untuk membuat bantahan," katanya.

Shapawi berharap insiden seumpama itu tidak berulang dan gejala seumpama itu tidak menular ke acara sukan lain sepanjang temasya dwi tahunan berkenaan.

Pagi tadi, Sukan NSTP menyiarkan kenyataan Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards yang mengkritik mutu pengadilan di SUKMA Perak.

Dalam satu kenyataan di JOHOR Southern Tigers, hari ini, Alistair mendakwa kegagalan pengadil mengawal perlawanan dengan baik sebagai punca berlakunya pergaduhan dan menggesa FAM melihat standard pengadil yang disediakan untuk kejohanan itu.

Pada aksi itu, Johor yang tewas 1-2 kepada Terengganu sah tersingkir daripada saingan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan.

 

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 6:49pm
d