arena

SUKMA XIX Perak dibuka meriah [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

IPOH: Temasya sukan berprestij negara, Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 membuka tirai secara rasmi dengan penuh gilang gemilang di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Perasmian kejohanan dwi-tahunan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan lafaz perasmian disusuli gimik nyalaan obor berbentuk keris serta letusan bunga api di luar dan dalam stadium.

Hujan renyai sebelum majlis bermula bagaimanapun tidak menghalang lebih 25,000 penonton hadir ke stadium seawal jam 6 petang bagi menyaksikan temasya bersejarah itu.

Turut berangkat pada majlis yang diserikan dengan persembahan pembukaan Indera Sakti membabitkan 700 peserta itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; menteri-menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Pembukaan rasmi persis temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 yang menggunakan teknologi sama pada dua temasya sukan berkenaan terdahulu dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri.

Lintas hormat itu dijayakan 7,464 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen dengan didahului kontinjen Sarawak yang juga tuan rumah SUKMA Ke-18 dua tahun lalu.

Selaku tuan rumah, Perak menghantar kontinjen terbesar dengan 587 atlet diikuti Sarawak (553), Selangor (543), Terengganu (542), Wilayah Persekutuan (532), Johor (495), Pulau Pinang (483), Kedah (464), Pahang (440), Sabah (416), Negeri Sembilan (411), Melaka (376), Kelantan (288), Perlis (280) dan Brunei (34).

Pada majlis itu, lagu tema rasmi SUKMA kali ini berjudul ‘Wow! Kita The Greatest’ yang digubah komposer muzik terkenal negara, Datuk Wah Idris serta lirik juga oleh beliau sendiri bersama Reyza Hamizan turut diperdengarkan.

SUKMA Perak 2018 adalah penganjuran kali kedua tuan rumah sejak menganjurkannya pertama kali pada 1994.

Temasya yang berlangsung 12 hingga 22 September ini akan menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 10:01pm
d