arena

Argentina, Colombia hambar

Oleh Reuters

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Argentina dan Colombia sekadar seri 0-0 di New Jersey hari ini pada perlawanan persahabatan yang gagal menceriakan peminat mereka susulan kekecewaan Piala Dunia Russia 2018.

Penjaga gol Colombia, David Ospina bertindak hebat apabila dia melayangkan badan untuk menepis percubaan Exequiel Palacios melepasi palang selepas enam minit manakala rakan sejawatnya bagi Argentina, Franco Armani sibuk pada setiap babak sekalipun kedua-dua pasukan dilihat tidak mampu memecah kebuntuan.

Kedua-dua pasukan menggunakan jurulatih sementara bagi perlawanan itu, selepas Jose Pekerman meletak jawatan sebagai bos Colombia minggu lalu dan Argentina masih belum menggantikan Jorge Sampaoli, yang meninggalkan tugasnya selepas Piala Dunia.

Argentina, beraksi tanpa Lionel Messi, mempertaruhkan pasukan muda dan mereka gagal mencuri tumpuan menentang Colombia yang lebih berpengalaman.

“Saya fikir kami memenuhi apa yang kami rancang,” kata jurulatih sementara Lionel Scaloni.

“Pemain ini sudah tahu bagaimana rasanya menyarung jersi Argentina. Hari ini beberapa pemain membuktikan mereka boleh menjadi sandaran bagi masa depan.”

Perlawanan Argentina seterusnya dijadualkan pada 16 Oktober depan menentang Brazil di Arab Saudi, manakala Colombia bertemu Amerika Syarikat di Tampa, juga bulan depan.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 12:18pm
d