arena

Hatrik emas Nur Aisyah

Oleh Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

KERIAN: Pelumba basikal Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir membuktikan kehebatannya sebagai pakar ujian masa apabila sukar digugat pelumba lain untuk muncul pelumba wanita pertama yang merangkul pingat emas dalam tiga edisi Sukan Malaysia (SUKMA) berturut-turut.

Dalam ujian masa individu (ITT) wanita sejauh 30 kilometer yang bermula di Arena Batu Kurau, di sini hari ini, Nur Aisyah yang dilepaskan sebagai pelumba terakhir berjaya memotong kesemua enam pelumba yang bermula lebih awal daripadanya untuk mencatatkan masa terpantas 44 minit 57.316 saat.

Seorang lagi pelumba Terengganu, Nurul Najihah Inani A Aziz merangkul perak dengan perbezaan masa 2 minit 33.638s sementara pelumba Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi membawa pulang gangsa dengan perbezaan 4:32.325s.

"Memang nampak senang (kemenangan hari ini) tetapi ini sebenarnya hasil latihan pagi dan petang setiap hari dengan latihan intensif selama sebulan di Nilai. Kami juga berkayuh jelajah satu Malaysia dalam persiapan kali ini.

"Untuk menang tiga kali berturut-turut sebenarnya bukan mudah, namun saya akui penat lelah selama ini berbaloi," katanya yang tampil pada penyertaan SUKMA terakhirnya.

Nur Aisyah, 21, berkata dia yang akan beraksi dalam keseluruhan tujuh acara lebuh raya dan trek  pada temasya kali ini berhasrat untuk membaiki pencapaian lima emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Sarawak.

Untuk rekod, pelumba yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu memenangi emas ITT, ujian masa berpasukan (TTT), kriterium, perlumbaan lebuh raya individu dan berpasukan.

"Saya harap dapat atasi pungutan lima emas itu namun saya tak ambil mudah saingan daripada pelumba negeri lain terutama daripada segi taktikal dan teknikal," katanya.

Nur Aisyah akan menyertai acara perlumbaan lebuh raya, kriterium, kejar mengejar individu dan berpasukan, perlumbaan scratch dan keirin.

"Saya harap kemenangan di SUKMA kali ini akan dapat membuktikan kemampuan saya untuk diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan terutama sekali bagi mewakili negara ke peringkat lebih tinggi," katanya yang kini berlatih di bawah pasukan berbasikal negeri.

INFO

Nama: Nur Aisyah Mohamad Zubir

Tarikh lahir: 4 Oktober 1997

Umur: 21 tahun

Asal: Kemaman, Terengganu

Sukan: Berbasikal

Kontinjen: Terengganu

Pencapaian SUKMA 2016: 5 emas

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 2:36pm
d