arena

Skuad futsal pula gaduh!

Oleh Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly 

 

IPOH: Selang beberapa hari selepas isu pergaduhan membabitkan pasukan bola Johor tercetus, satu lagi insiden pergaduhan berlaku di Sukan Malaysia (SUKMA) yang sedang berlangsung di Perak.

Kali ini membabitkan skuad futsal Johor yang tewas 6-4 di tangan Wilayah Persekutuan dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Manjung Indoor Sport Arena.

Jurulatih futsal Johor, Ahmad Hanif Sarmin bagaimanapun memohon orang ramai supaya tidak membesarkan isu itu biarpun mengakui berlaku kekecohan dan insiden tolak menolak antara kedua-dua pemain pasukan. 

"Saya memohon maaf atas apa yang berlaku. Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan kerana pemain kedua-dua pasukan sudahpun memohon maaf selepas tamatnya perlawanan,” kata Hanif. 

"Saya tahu isu pergaduhan antara Johor dan Terengganu dalam bola sepak masih lagi panas dan dan sebab itu saya sentiasa menasihati pemain namun mereka gagal mengawal emosi mereka. 

"Kepada mereka yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, saya harap jangan cepat membuat spekulasi atau melatah kerana ia tidak adil buat Johor kerana perlawanan berakhir dengan dengan baik dan tiada kecederaan yang berlaku."

Hanif, 32, berkata, pertengkaran atau pertelagahan kecil dalam perlawanan futsal sering kali berlaku dan ia adalah perkara biasa, namun adalah tidak wajar untuk memperbesarkan isu ini.

Terdahulu, Perlawanan bola sepak SUKMA antara Johor dan Terengganu dalam Kumpulan B, dicemari dengan layangan empat kad merah susulan tercetus pergaduhan pada aksi di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, dua hari lalu.

Insiden pada masa tambahan (minit ke-90+4) itu berpunca selepas berlaku provokasi tolak menolak di mana seorang pemain Johor dilihat mula menendang seorang pemain Terengganu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Perlawanan itu berakhir dengan Terengganu menang 2-1 ke atas Johor.

 

 

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 7:10pm
d