arena

Lesen memandu Lloris digantung

LONDON: Kapten juara Piala Dunia Perancis, Hugo Lloris berjaya mengelak hukuman penjara tetapi lesen memandunya digantung 20 bulan selain dikenakan denda 50,000 pound (RM269,310) akibat kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Penjaga gol Tottenham Hotspur itu sebelum ini menyifatkan sikapnya itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan menerima hukuman lebih ringan daripada hakim yang berkemungkinan memenjarakannya selama enam bulan.

“Pada 15 Julai, dia lelaki paling bangga di dunia,” kata pendakwa raya, David Sonn merujuk kepada hari di mana Lloris dan pasukannya, Perancis menjulang trofi Piala Dunia di Moscow.

“Namun, 40 hari kemudian, dia ditahan di tengah London,” kata Sonn. “Hari ini dia meminta maaf kepada mahkamah.”

Lloris menjadi antara wira Perancis yang mencipta kegemilangan memenangi Piala Dunia kedua negara itu dalam tempoh 20 tahun.

Kejayaan itu mengubah pemain berusia 31 tahun itu menjadi wira kebangsaan dan mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang penjaga gol paling dihormati di dunia.

Tetapi, detik malang Lloris bermula apabila kereta Porsche yang dipandunya ditahan pada pemeriksaan rutin pada 2:20 pagi, 24 Ogos lalu.

Akhbar Daily Mail berkata ujian yang dilakukan menyaksikan badan Lloris memiliki 100 mikrogram alkohol per 100 mililiter nafas ketika diperiksa oleh pihak polis.

Jumlah berkenaan bersamaan dengan tujuh gelas wain, sekalipun tahap alkohol bergantung kepada pelbagai faktor seperti umur, jantina dan metabolisma dengan had memandu di England dalam ujian pernafasan adalah 35 mikrogram.

Lloris yang sudah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata nampak muram dan mengunci mulutnya ketika berjalan melepasi wartawan menuju ke bilik perbicaraan.

Lloris terlepas perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara Eropah dengan jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata ketiadaan penjaga gawangnya itu adalah disebabkan masalah kecederaan betis. - AFP

 

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 9:46pm
d