arena

Golovkin bikin panas

Oleh AFP

LOS ANGELES: Gennady Golovkin meneruskan perang psikologi ke atas Saul ‘Canelo’ Alvarez menjelang pertembungan ulangan tinju middleweight, Sabtu ini dengan menuduh pencabar dari Mexico itu sebagai ‘penagih dadah’.

Golovkin yang tidak pernah tumbang dalam aksi middleweight tiba ke T-Mobile Arena bersama Alvarez hanya setahun selepas pertembungan kontroversi mereka berakhir tanpa pemenang di venue sama.

Pertemuan ulangan yang awalnya dirancang pada 5 Mei dibatalkan selepas Alvarez dua kali disahkan positif doping sebelum dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan.

Alvarez menegaskan kegagalan dua ujian doping sebelum ini akibat pengambilan daging tercemar di negara asalnya Mexico sekali gus menafikan tuduhan doping.

Namun Golovkin yang terus meragui jawapan Alvarez itu, sekali lagi memperlekehkan alasan peninju dari Mexico itu selepas kedua-dua peninju tiba di Las Vegas, kelmarin.

“Saya tidak fikir ia adalah daging,” kata Golovkin. “Saya langsung tidak mempercayai ceritanya. Pakar dalam bidang anti-doping mengesahkan doping itu bukannya datang daripada daging tercemar.”

“Cerita mengenai daging yang tercemar ini adalah tidak masuk akal.”

Golovkin berkata, terdapat gambar bukti yang menunjukkan Alvarez ada mengambil suntikan jarum.

“Anda tidak boleh nafikan terdapat beberapa suntikan jarum di bahunya. Memang ia nampak secara terang-terangan,” kata juara bertahan WBA, WBC dan IBO middleweight itu.

“Tetapi buat masa ini ia adalah perkata terakhir yang saya risaukan, saya lebih risaukan pertarungan ini.”

Sementara itu, Alvarez, 28, menafikan tuduhan doping yang dibuat Golovkin.

“Itu adalah tuduhan dibuat oleh seorang yang penakut. Tuduhan itu dibuat kerana apa yang menantinya pada perlawanan Sabtu ini adalah kekalahan,” kata Alvarez.  

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 8:30am
d