arena

Nilai semula Program Podium

Oleh Helmi Talkah

 

 

KUALA LUMPUR: Atlet yang bukan dalam senarai sukan dipertandingkan pada Olimpik Tokyo 2020 kemungkinan besar akan digugurkan daripada Program Podium.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, percaya perkara itu akan menjadi salah satu cadangan menerusi Bengkel ‘Post Mortem’ Program Podium yang diadakan selama dua hari bermula hari ini membabitkan semua pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata fokus kini terarah terhadap usaha bagi merealisasikan matlamat meraih pingat emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020.

“Sukan Asia sudah pun tamat dan saya berpendapat pada bengkel ini akan ada cadangan untuk menilai semula sukan dalam Program Podium berdasarkan sukan yang akan dipertandingkan pada Olimpik Tokyo 2020,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Bengkel ‘Post Mortem’ Program Podium, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, seramai 148 atlet kini berada dalam Program Podium.

Antara atlet yang dijangka digugurkan adalah daripada sukan seperti skuasy, sepak takraw, boling dan silat yang tidak dipertandingkan pada Olimpik.

Bagaimanapun, berdasarkan pencapaian semasa terutama pada Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini, hanya satu emas berjaya diraih menerusi sukan yang dipertandingkan pada Olimpik iaitu acara pecut basikal trek yang dimenangi Mohd Azizulhasni Awang.

Enam lagi emas dimenangi kontinjen Malaysia hadir menerusi sukan skuasy (dua emas), boling (dua emas), sepak takraw dan pelayaran.

Ditanya mengenai hala tuju atlet yang  akan digugurkan daripada Program Podium, Lokman, berkata: “Kami bincangkan perkara itu kemudian. Kita ada beberapa lagi program lain seperti Program Kita Juara yang turut memberi sokongan kepada atlet, jadi kita akan lihat nanti.

“Apa pun, sasaran dan pencapaian yang diletakkan untuk Program Podium ini adalah Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 1:35pm
d