arena

Kapten Spurs mohon maaf

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menjelaskan penjaga golnya yang menjulang Piala Dunia, Hugo Lloris akan kekal sebagai kapten Spurs walaupun didapati bersalah atas dakwaan memandu dalam keadaan mabuk.

"Dia sendiri sudah menyesali apa yang berlaku," kata Pochettino di sesi latihan kelab menjelang pertemuan dengan Liverpool pada Sabtu ini.

"Sudah pasti dia akan rasa kurang senang. Dia mengakui bersalah dalam situasi ini dan bertanggungjawab. Dia melakukan kesilapan dan menanggungnya serta menghukum diri sendiri.

"Ia adalah pengajaran yang berguna kepada semua orang. Dia memberitahu saya; "Bos, ia adalah pengajaran berguna kepada saya, saya melakukan kesilapan dan perlu membayarnya". Dia menerimanya seperti seorang yang dewasa.”

Pochettino mengesahkan penjaga gol Perancis berusia 31 tahun itu, yang dilarang memandu selama 20 bulan dan denda 50,000 pounds (RM271,664), akan kekal sebagai kapten pasukan itu.

Lloris mengakui sudah lebih dua kali memandu dalam keadaan demikian ketika ditahan polis di tengah London bulan lalu.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu menjelaskan sebarang tindakan disiplin yang diambil akan dilakukan secara dalaman.

Dia kini tersisih sementara selepas mengalami kecederaan peha ketika menewaskan Manchester United.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 11:11pm
d