arena

Mourinho perlu menang

Oleh AFP

LONDON: Jose Mourinho mengemudi Manchester United ke Watford esok dengan mengetahui mereka tidak boleh tewas sekiranya mahu mengejar pencabar kelompok atasan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 2-0 ke atas Burnley diikuti rehat antarabangsa mengendurkan tekanan ke atas pengendali dari Portugal itu tatkala beliau sedang cuba menyuntik momentum positif terhadap permulaan buruk United musim ini.

Kekalahan di tangan Watford yang menang kesemua empat aksi pertama EPL akan meninggalkan Red Devils sembilan mata di belakang pendahulu selain merencatkan pemburuan awal gelaran liga.

Bagaimanapun, bekas pertahanan kanan United dan England, Gary Neville berharap bekas pasukannya itu masih dapat mencabar Chelsea, Manchester City dan Liverpool walaupun mengalami dua kekalahan awal daripada empat perlawanan.

“Sekiranya mereka dapat kekal (mencabar) sehingga Januari dan mungkin membeli satu atau dua pertahanan, masih ada peluang buat mereka,” katanya.

“Tetapi saya fikir untuk musim ini penamat terbaik buat United adalah tempat ketiga atau keempat.”

Tegas Neville lagi, masih terlalu awal untuk menidakkan kemampuan Mourinho meskipun beliau bergelut, sekali gus mula dianggap sebagai jurulatih yang sudah kehilangan sentuhan.

“Saya fikir Jose adalah pengurus yang hebat, dan dalam karier 25 tahun, akan muncul ramai pengurus muda, dan orang ramai akan mula bertanya sama ada anda berjaya,” katanya.

“Memang beliau menghadapi situasi yang lebih sukar kali ini, tetapi adakah ia sudah tamat? Sudah tentu ia tidak masuk akal.”  

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 8:08am
d